PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin manakala isterinya, Ismanira Abdul Manaf diperintah membela diri atas pertuduhan sama.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam kes terhadap Zaim Ikhwan termasuk aspek pemeliharaan, penjagaan serta niat bersama.
“Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama. Maka beliau dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata Syahliza dalam keputusannya.
Bagaimanapun, bagi Ismanira selaku tertuduh kedua, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ismanira memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi, membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas keterangannya.
Prosiding bela diri dijadualkan bermula sebentar lagi di hadapan hakim yang sama.
Sejurus selepas keluar dari kandang saksi, Ismanira yang sebelum ini kelihatan tenang dan senyum menjadi beremosi, menangis teresak-esak sambil dipujuk oleh suami serta ahli keluarga lain.
Suasana mahkamah senyap seketika dan hanya kedengaran esakan wanita itu untuk hampir 10 minit manakala ahli keluarga lain juga saling berpelukan serta menangis.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang ketika itu berusia enam tahun.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa secara bersama sebagai penjaga kepada kanak-kanak itu dan dengan cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang didakwa dilakukan antara 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Kejadian dikatakan berlaku dari kediaman mereka di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan anak sungai berhampiran di mana mayat Zayn ditemui.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di dalam anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 10 malam, 6 Disember 2023 sehari selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Kes itu mencetuskan perhatian nasional dan mendapat liputan meluas berikutan keadaan fizikal mangsa dan suasana misteri kematiannya.
Perbicaraan kes kini akan diteruskan terhadap Ismanira dengan prosiding bela diri menjadi tumpuan seterusnya yang akan bermula pada bila-bila masa sahaja lagi. – MalaysiaGazette

