MUAR – Seorang pempengaruh permotoran dan adik lelakinya masing-masing dipenjara sebulan dan denda RM1,500 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membuat laporan palsu, minggu lalu.
Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, adik Tengku Abdul Aziz, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa terhadapnya.
Mahkamah memutuskan Tengku Nizaruddin atau terkenal sebagai Ija dipenjara tiga bulan manakala Tengku Aziz enam bulan jika gagal bayar denda dengan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan, hari ini.
Bagaimanapun, kedua-dua beradik tersebut membayar denda dikenakan terhadapnya
Mengikut pertuduhan, Ija dan Tengku Aziz, didakwa memberi laporan palsu dan bersubahat kepada penjawat awam berhubung kehilangannya Balai Polis Lenga pukul 11. 38 malam, pada 15 Julai lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama, hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 14 Julai lalu, Tengku Aziz membuat laporan berhubung kehilangan abangnya dan keesokan hari, orang awam menemui sebuah kereta dipandu Ija dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, pukul 3 petang.
Operasi mencari dan menyelamat bermula pada hari sama membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Sukarelawan (Rela).Kejadian sebenar terbongkar pada pukul 12.30 tengah malam, 19 Julai lalu, yang mana kedua-dua tertuduh membuat laporan palsu,
Siasatan mendapati dua beradik itu dari Johor Bahru bergerak berasingan dan Ija meminta adiknya meneruskan perjalanan manakala dia ke arah Pagoh.
Sebaik tiba di lokasi, Ija didapati menenggelamkan kereta terbabit di sungai terbabit dan meminta adiknya datang menjemput sebelum memasuki Thailand melalui Padang Besar di Perlis.
Terdapat rekod pergerakan masuk Ija dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selain tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai, bertarikh 17 Julai yang ditempah sehari sebelum itu.
Selain itu, Ija turut menempah perkhidmatan e-hailing dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibatnya di Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 9.25 malam, pada 14 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah manakala dua beradik itu diwakili peguam, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Nor Hafizah dalam hujahan rayuan memberitahu tindakan diambil pempengaruh itu kerana masalah kewangan dialaminya dan bukannya berkahwin di Thailand.
Sementara itu, Ija ketika diberi peluang mengemukakan rayuan memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan tindakan dilakukannya.
“Saya sudah menyesal dengan tindakan dibuat, saya tak nak penjara. Isteri saya sedang hamil enam bulan,” katanya.- MalaysiaGazette

