Individu berhati mulia tawar diri bantu bawa balik 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah

KUALA LUMPUR – Seramai 42 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Jeddah sejak Jumaat lalu akan dibawa balik ke tanah air oleh seorang individu yang berhati mulia.

Nasib jemaah umrah berkenaan mendapat perhatian individu ini sejurus rakaman mengenai keadaan yang dialami kumpulan tersebut dimuat naik oleh mutawif yang membawa jemaah berkenaan diaplikasi TikTok.

Keadaan sukar yang dialami oleh jemaah-jemaah umrah tersebut telah menjentik hati individu berkenaan untuk membantu mereka.

Menerusi rakaman di laman sosial sama, individu yang menggunakan nama Firdaus Firabib memaklumkan, beliau sedia untuk menguruskan penerbangan kesemua jemaah terbabit pulang ke tanah air, esok.

Katanya, dia  tidak mempunyai kaitan langsung dengan agensi yang menguruskan jemaah umrah tersebut, namun bantuan yang dihulurkan dibuat atas dasar kemanusiaan.

β€œSaya dah tengok dah kenyataan agensi itu, depa tak ada duit dah, depa akan bawak balik mereka secara peringkat-peringkat.

β€œTapi, dalam masa yang sama depa berunding nak pinjam duit jemaah, nak bawa balik mai…jemaah dah tertekan ni, dah stress dah tu, nak pinjam nak bagi jaminan pulang dalam masa tiga bulan.

β€œJadi, la ni memang geram, tapi kita letak tepi sat travel (agensi) tu. Saya tak ada kena mengena apa dengan travel tu dengan mutawif, tak ada apa kena mengena dengan jemaah-jemaah ni.

β€œCuma saya nak volunteer, ambil respons saja, nak tolong mutawif dan jemaah 42 orang ini nak bawa balik ke Malaysia,” katanya menerusi rakaman yang tular.

Bagaimanapun beliau berkata, memandangkan hari ini merupakan cuti hujung minggu, kesemua urusan tersebut hanya dapat dilakukan esok.

Jelasnya, beliau juga telahpun menguruskan dan membuat bayaran penuh penginapan satu malam untuk semua jemaah yang terkandas di Jeddah dan segala urusan pulang  termasuk mendapatkan tiket penerbangan akan dilakukan esok pagi.

β€œKita cuba cari tiket dan dapatkan harga yang terbaik…Insya Allah berapa jumlah pun saya bagi jaminan, bab duit kita usaha sama-sama.

β€œKalau kata nak keluar sampai RM85,000 banyaklahkan, tapi kalau kita boleh usaha sama-sama Insya Allah,” ujarnya.

Hari ini MalaysiaGazette melaporkan, seramai 42 jemaah umrah Malaysia yang terdiri daripada warga emas dan penjawat awam terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu selepas mendakwa menjadi mangsa pemalsuan dokumen tiket penerbangan pulang oleh sebuah agensi pelancongan tempatan.

Mereka yang sepatutnya berlepas pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan ibadah umrah dan ziarah ke Taif, terkejut apabila dimaklumkan tiket penerbangan mereka tidak wujud walaupun bayaran penuh pakej telah dibuat kepada syarikat pengendali umrah, Persada Global Holidays (PGH).

Kumpulan jemaah berkenaan diketuai oleh seorang mutawif yang juga bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim 2015, PU Abu Sufiyan.

Kumpulan jemaah kini masih berada di Jeddah dan mengharapkan bantuan segera dapat disalurkan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat. – MalaysiaGazette