Dortmund sedia terima Sancho kali ketiga

DORTMUND: Borussia Dortmund dilaporkan sedang memantau situasi Jadon Sancho di Manchester United, dengan kemungkinan untuk menandatangani pemain sayap itu buat kali ketiga.

Sancho, 25, dipinggirkan daripada skuad utama United selepas Chelsea membayar penalti sebanyak 5 juta pound (RM28.3 juta) untuk menamatkan perjanjian pinjaman lebih awal dan memulangkannya ke Old Trafford.

Pemain England itu menyertai Chelsea secara pinjaman musim lalu selepas hubungannya dengan Erik ten Hag retak, namun rundingan untuk perpindahan kekal gagal direalisasikan – termasuk pemotongan gaji. Kini, United kembali berusaha mencari jalan untuk menjualnya.

Menurut media Jerman, Sancho kini kembali berada dalam radar Dortmund, dengan kelab Bundesliga itu sedang menilai perkembangan terbaru berkait masa depan pemain berkenaan.

United difahamkan sedia menerima tawaran sekitar 16 juta hingga 18 juta pound (RM90.4 juta hingga RM101.8 juta) – jauh lebih rendah berbanding 73 juta pound (RM412 juta) yang mereka belanjakan untuk mendapatkan Sancho dari Dortmund pada Julai 2021.

Dalam dua tempoh berasingan bersama Dortmund sebelum ini, Sancho membuat 158 penampilan dan menjaringkan 53 gol. Malah, ketika kembali secara pinjaman pada separuh kedua musim 2023-24, Sancho memainkan peranan penting dalam membantu kelab mara ke final Liga Juara-Juara.

Selain Dortmund, Sancho turut dikaitkan dengan Juventus, dan ejen pemain itu dilaporkan terbang ke Turin awal bulan ini untuk cuba menyempurnakan perjanjian bernilai 5 juta pound (RM28.3 juta) dengan United.

Sancho kini antara empat pemain – bersama Alejandro Garnacho, Antony dan Tyrell Malacia – yang tidak dibawa ke jelajah pramusim United di Amerika Syarikat. Marcus Rashford pula sudah berhijrah ke Barcelona.

Pengendalinya, Ruben Amorim mengakui empat pemain terbabit masih boleh diserap semula ke dalam skuad utama jika tiada perpindahan berlaku.

“Kami beri masa kepada mereka untuk berfikir dan buat keputusan. Tetapi jika tiada kelab yang capai nilai yang ditetapkan, mereka akan kembali ke skuad – mereka masih pemain Manchester United,” kata Amorim. – AGENSI