PHNOM PENH: Kemboja menyambut kepulangan dua tenteranya yang cedera selepas ditawan tentera Thailand, susulan kedua-dua negara sudah melaksanakan gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran lima hari.
Pemulangan itu berlaku ketika kedua-dua negara masih bertikam lidah dan saling menuduh antara satu sama lain berhubung serangan terhadap orang awam serta pelanggaran undang-undang peperangan.
Justeru, perkembangan itu berjaya meredakan sedikit keadaan ketika perdebatan hangat berunsur nasionalisme semakin hebat di media sosial.
Daripada 20 anggota tentera Kemboja yang ditawan pada Selasa lalu di satu kawasan yang dipertikaikan, hanya dua dibebaskan setakat ini.
Baki 18 lagi masih ditahan oleh pihak Thailand dan Kemboja kini mendesak mereka juga dibebaskan segera, dengan kedua-dua negara memberikan versi berbeza mengenai penahanan itu.
Tentera Kemboja mendakwa pasukan mereka menghampiri kedudukan tentera Thailand dengan niat baik untuk menyampaikan salam pasca-pertempuran.

Namun, tentera Thailan mendakwa tentera Kemboja itu kelihatan berniat jahat dan memasuki kawasan yang dianggap milik Thailand, menyebabkan mereka ditahan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, mengesahkan bahawa dua anggota tentera yang cedera itu sudah diserahkan di pusat pemeriksaan sempadan antara wilayah Surin di Thailand dan wilayah Oddar Meanchey di Kemboja.
Beliau turut menggesa Thailand agar memulangkan baki tentera yang ditahan, selaras tuntutan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Tentera Thailand menyatakan bahawa mereka mematuhi prosedur undang-undang antarabangsa dan menahan baki 18 anggota berkenaan sementara siasatan terhadap tindakan mereka dijalankan.
Dalam kenyataan semalam, Wilayah Tentera Kedua Thailand mengenal pasti dua tentera yang dipulangkan itu sebagai seorang sarjan yang cedera patah tangan dan luka di bahagian pinggul.
Seorang lagi tahanan berpangkat leftenan kedua kelihatan mengalami keletihan akibat pertempuran dan memerlukan penjagaan daripada keluarganya.

Menurut kenyataan sama, kedua-dua anggota tentera terbabit sudah berikrar untuk tidak lagi terbabit dalam sebarang permusuhan terhadap Thailand.
Bagaimanapun, tiada anggota tentera, baik yang dibebaskan mahupun masih ditahan, dibenarkan untuk ditemubual oleh pihak ketiga yang neutral.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kemboja, mengeluarkan sepucuk surat kepada Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendakwa kedua-dua anggota itu diseksa dan dinafikan rawatan.
Surat berkenaan bagaimanapun, tidak mengemukakan sebarang bukti, namun menuntut siasatan bebas dijalankan oleh PBB atau badan antarabangsa lain.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua negara turut mengadakan lawatan diplomatik ke lokasi pertempuran di sempadan bagi menunjukkan kerosakan yang didakwa berpunca daripada pihak lawan, sebagai sebahagian usaha menunjukkan keterbukaan.
Lebih 40 orang termasuk orang awam dan tentera terbunuh dalam pertempuran itu, yang menyaksikan pertempuran infantri, tembakan artileri serta penggunaan pelancar roket oleh Kemboja yang dibalas Thailand dengan serangan udara.
Lebih 300,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat konflik terbabit. – AGENSI

