BALIK PULAU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan perintah reman empat hari terhadap seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah rumah pempengaruh TikTok di Batu Maung, dekat sini, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting sehingga Jumaat ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Terdahulu lelaki berusia 21 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah dalam keadaan ‘berkaki ayam’ dan tangan bergari dengan menaiki kenderaan polis pada jam 9.05 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki rumah pempengaruh dikenali sebagai Choii melalui pintu belakang ketika pembantu rumah itu keluar membuang sampah.
Lelaki terbabit pada mulanya berjaya melarikan diri, namun dia berpatah balik ke rumah berkenaan untuk mengambil barangnya yang tertinggal dalam kejadian kira-kira jam 6.55 pagi semalam.
Suspek kemudian ditangkap pengadu yang turut dibantu rakannya sebelum mereka menyerahkan suspek kepada polis peronda (MPV) yang bertugas di Zon 3 Batu Maung.
Polis hari ini turut mengesahkan barang yang tertinggal itu adalah selipar.
Suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamin, amphetamine dan benzodiazepine serta mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

