Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Negara baharu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di pejabatnya, hari ini.

Dalam pertemuan itu, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh institusi kehakiman yang bebas, berintegriti serta diyakini rakyat sebagai tiang seri kepada negara hukum yang adil dan saksama.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau dan menzahirkan keyakinan bahawa amanah besar yang digalas itu akan dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan.

“Tahniah di atas pelantikan. Semoga amanah besar ini digalas dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan demi Malaysia yang lebih adil dan maju,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara ke-17 bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.