KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko pertumbuhan eksport yang lebih perlahan sekiranya cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif 100 peratus terhadap cip dan semikonduktor dilaksanakan sepenuhnya, melebihi jangkaan senario semasa.
Presiden AS, Donald Trump mencadangkan langkah agresif itu dengan pengecualian diberikan kepada syarikat AS yang memindahkan semula pengeluaran ke dalam negara mereka.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa sebanyak 65 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS berpunca daripada firma AS yang beroperasi di dalam negara, namun pengecualian produk terbabit masih tertakluk kepada siasatan Jabatan Perdagangan AS.
Menurut CIMB Treasury and Markets Research, Malaysia mengeksport semikonduktor bernilai RM437.5 bilion ke seluruh dunia pada 2024, termasuk RM56.2 bilion ke AS.
Walaupun tarif yang dicadangkan dianggap keras, kehadiran syarikat AS dalam rantaian bekalan tempatan dan syarikat multinasional lain yang beroperasi di Malaysia memberi sedikit perlindungan kepada industri.
Sebanyak 65 peratus eksport Malaysia ke AS adalah daripada firma AS, manakala sebahagian daripada baki 35 peratus pula adalah syarikat dengan hubungan rapat kepada firma AS dan mungkin masih layak mendapat pengecualian.
Namun, sekiranya hanya 55 peratus eksport diberi pengecualian dan 10 peratus lagi terjejas, ia boleh menyusutkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.29 peratus, menurut CIMB.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan penuh tarif itu akan meningkatkan kos import bagi pemain industri semikonduktor di AS dan boleh mendorong mereka mencari pembekal alternatif yang lebih kompetitif.
Beliau berkata, kehilangan pasaran eksport ke AS akan menjejaskan pengeluar tempatan yang perlu melaraskan operasi pengeluaran mereka. Tambahnya, syarikat dari AS mungkin mempertimbang membuka kilang di negara asal, namun kos dan masa untuk mengubah rantaian bekalan adalah tinggi.
Katanya, kerajaan perlu mempertimbang bentuk bantuan bersasar kepada syarikat terjejas agar mereka dapat terus beroperasi di Malaysia tanpa menanggung impak besar daripada dasar perdagangan AS.

