Justin cari ‘angin baharu’ di Denmark

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang menjalani latihan di Denmark menjelang Kejohanan Dunia 2025 dalam usaha untuk melonjakkan prestasinya ke tahap lebih tinggi.

Justin, 21, antara tiga pemain negara yang menyertai kem latihan khas di negara Denmark, selain Leong Jun Hao dan K Letshanaa, di bawah kendalian Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen.

Kejohanan Dunia edisi tahun ini dijadual berlangsung di Adidas Arena, Paris dari 25 Ogos hingga 31 Ogos dan walaupun Justin tidak layak beraksi, dia melihat peluang berlatih di Denmark sebagai persiapan penting menjelang kejohanan lain penghujung musim ini.

“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya berlatih dalam suasana berbeza, dan berpeluang untuk training bersama pemain terbaik dunia seperti Anders Antonsen.

“Ia peluang terbaik untuk saya menimba pengalaman, dan saya harap dapat menampilkan aksi terbaik dalam baki kejohanan tahun ini,” kata Justin ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara di sini, hari ini.PauseNextMute

Menurut Justin, suasana latihan di Denmark bukan sahaja kompetitif dan mencabar, malah sangat membantu dari aspek menyesuaikan diri dengan corak latihan bertaraf antarabangsa.

“Latihan di sana pastinya berbeza dan memberikan manfaat besar kepada saya. Saya mahu manfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk mantapkan prestasi dan kekalkan momentum menjelang beberapa kejohanan utama selepas ini.”

Terdahulu, Justin mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul naib juara Terbuka Macau 2025, yang juga penampilan pertamanya di final kejohanan Jelajah Dunia BWF.

Bagaimanapun, dalam aksi final kejohanan berstatus Super 300 itu, Justin terpaksa akur apabila tunduk kepada pemain Indonesia, Alwi Farhan, 15-21, 5-21.