4 penunggang motosikal lakukan aksi ‘Superman’ ditahan awal pagi

ISKANDAR PUTERI: Empat penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya ala ‘Superman’ di Lebuh Raya LINKEDUA, di sini, ditahan pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata empat lelaki berusia 18 hingga 25 tahun itu diberkas hasil risikan polis serta makluman awam.

“Empat lelaki berkenaan ditangkap di Kilometer 15 Lebuh Raya LINKEDUA menghala ke Kilometer 12.9 arah Gelang Patah berhampiran Taman Nusabayu di sini.

“Tindakan mereka itu bukan saja tidak menghiraukan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain, malah ia adalah aktiviti sia-sia yang akan berdepan tindakan tegas polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa dan penjaga diingatkan memantau pergerakan anak-anak mereka, khususnya yang keluar malam dengan menunggang motosikal.

“Jangan sampai nasi menjadi bubur. Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada berguna,” katanya.

Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri akan terus meningkatkan operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap samseng jalanan yang masih berdegil dan berlumba di jalan raya sehingga menimbulkan masalah kepada pengguna lain serta penduduk setempat,” katanya.