Ibu tak mengaku salah dera anak, letakkan cili dalam mulut

BUTTERWORTH – Seorang pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya berusia 10 tahun dengan memukul menggunakan kabel pengecas telefon dan meletakkan cili di dalam mulut mangsa, pada bulan lalu.

Tertuduh, Noor Akma Shuhaida Mohd Rosidi, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai penjagaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun didakwa telah menganiaya hingga menyebabkan kecederaan fizikal dengan cara memukulnya menggunakan kabel cas telefon serta meletakkan cili dalam mulut mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Bertam Putra, Kepala Batas di sini, jam 10 pagi pada 1 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah RM10,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah membenarkannya selain mohon mengambil kira faktor mangsa adalah anak kandung tertuduh walaupun kini tinggal bersama keluarga angkat.

Bagaimanapun, peguam A. Mahesh yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pekerja kedai makan dengan pendapatan secara harian selain mempunyai tujuh lagi anak termasuk seorang bayi yang sedang menyusu.

“Anak guam saya telah memberi kerjasama kepada polis ketika siasatan dan tidak berisiko melarikan diri,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu lapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa, saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 September depan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa. – MalaysiaGazette