PONTIAN – Tular dalam media sosial memaparkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di daerah ini.
Rakaman berdurasi 33 saat menunjukkan bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik itu dengan bendera Malaysia digantung secara terbalik di tingkat dua.
Bendera terbalik dilihat bersebelahan bendera Johor yang dipasang dengan betul.
Dalam video tersebut juga memaparkan beberapa anggota polis dan orang awam turut berada di lokasi kejadian.
Daripada rakaman tersebut juga memperlihatkan klinik pergigian itu tidak beroperasi dengan pintu besar ditutup.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menzahirkan rasa kecewa dan menganggap perbuatan berkenaan sebagai tidak menghormati simbol kedaulatan negara.
Sementara itu, difahamkan Timbalan Ketua Polis daerah Pontian, Abd Hamid Abd Rahaman akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.
Sebelum itu pada Isnin, polis membuka kertas siasatan susulan bendera Johor dipasang terbalik di atas sebuah bangunan hotel di Jalan Syed Abdul Kadir, Segamat yang sejak Sabtu lalu.- MalaysiaGazette

