Pesara rugi RM14,910 kad kredit digunakan individu lain

JOHOR BAHRU: Seorang pesara kerugian RM14,910 selepas kad kredit miliknya digunakan oleh individu lain tanpa pengetahuannya pada Jun lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ong, 59, berkata kejadian bermula pada 14 Jun lalu selepas dia menerima tiga notifikasi dari pihak bank dalam masa beberapa jam memaklumkan berlaku transaksi daripada kad kreditnya.

“Setiap transaksi itu membabitkan jumlah antara RM4,000 hingga RM5,000. Tiga transaksi berkenaan membabitkan jumlah keseluruhan RM14,910.

“Saya hairan kerana tidak guna kad kredit itu dan kad juga ada pada saya. Ketika itu saya tidak menerima sebarang nombor pengesahan transaksi (OTP) melalui telefon bimbit untuk pengesahan penggunaan kad kredit saya.

“Saya kemudian menghubungi pihak bank terbabit memaklumkan tidak menggunakan kad kredit untuk sebarang pembelian. Pihak bank menyatakan transaksi masih belum berlaku, tetapi akhirnya proses itu terjadi juga apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bank menyatakan saya sudah menggunakan kad kredit berkenaan,” katanya.

Beliau berkata berkata demikian pada sidang media di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Bimbang sekiranya kad kredit digunakan lagi, Ong hadir ke bank berkenaan yang terletak di Taman Molek dan membuat aduan pada 16 Jun lalu.

Katanya, laporan polis turut dibuat di Balai Polis Taman Johor Jaya pada hari sama.

Sementara itu, Pegawai Aduan Pejabat ADUN Johor Jaya, Mok Meng Haw mahu pihak terbabit mengambil tindakan sewajarnya untuk mendapatkan keadilan kepada Ong yang tidak bersalah.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terutama apabila menerima pautan daripada mana-mana pihak atau nombor tidak dikenali,” katanya.