Bapa mendiang Altantuya mahu polis siasat afidavit tambahan Azilah

KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya polis menyiasat afidavit tambahan yang dibuat oleh seorang bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Permohonan tersebut difailkan oleh bapanya, Dr. Shaariibuu Setev di Pejabat Pendaftaran Sivil, Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu.

Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.

Peguam Sangeet Kaur Deo dalam satu kenyataan hari ini berkata, anak guamnya memohon perintah untuk memaksa polis menyiasat kandungan afidavit tambahan Azilah Hadri bertarikh 24 September 2024.

Afidavit yang diikrarkan oleh bekas Cif Inspektor itu mengandungi akuan berkanun bertarikh 17 Oktober 2019, yang kemudian digunakan untuk menyokong permohonan semakan hukuman mati di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.

Afidavit itu antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan ‘pihak atasan’ melaksanakan ‘operasi sulit’ untuk menghapuskan si mati.

Permohonan semakan itu dibenarkan panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Mahkamah kemudian menggantikan hukuman mati Azilah kepada penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan, ditolak tempoh beliau dibebaskan selepas keputusan Mahkamah Rayuan, serta 12 sebatan,” ujarnya.

Menurut Sangeet, Tengku Maimun dalam penghakimannya menyatakan kandungan afidavit tambahan dan akuan berkanun itu tidak pernah dipertikai atau disangkal pihak pendakwaan ketika prosiding berkenaan.

Malaysia Gazette