KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan elektrik sementara yang berlaku di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada jam 2.15 petang tadi tidak menjejaskan operasi lapangan terbang itu.
Ia kerana, sistem kuasa termasuk penjana sandaran diaktifkan serta-merta bagi memastikan kefungsian sistem kritikal tidak terganggu seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan maklumat penerbangan paparan.
“Pasukan teknikal kami bertindak balas dengan pantas dan profesional, mengubah hala kuasa daripada pencawang ganti dan berjaya memulihkan bekalan kuasa penuh dalam masa 28 minit,” kata Malaysia Airports dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, semua perkhidmatan penting kekal beroperasi sepanjang masa.
Menurutnya, gangguan itu berlaku disebabkan insiden flashover yang melibatkan penamatan kabel.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, laporan penuh kejadian itu sedang disediakan untuk diserahkan kepada pihak Menteri Pengangkutan.
“Malaysia Airports kekal komited untuk mengekalkan standard tertinggi keselamatan, kebolehpercayaan dan kesinambungan perkhidmatan.
“Kami sedang menjalankan penilaian menyeluruh kejadian untuk mengelakkan kejadian pada masa hadapan dan memastikan daya tahan infrastruktur kami,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang, penyewa dan pihak berkepentingan atas pemahaman mereka dan sokongan berterusan. – MalaysiaGazette

