KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan melaksanakan percubaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) untuk menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan serta menyediakan akses lebih lancar ke terminal, mulai bulan depan.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, percubaan VAMS di Terminal 1 di Aras 5 (pelepasan – menurunkan penumpang) dan Aras 3 (ketibaan – mengambil penumpang) akan bermula 1 September hingga 31 November 2025.
Bagi Terminal 2 pula, menurutnya, percubaan VAMS akan bermula 15 September hingga 30 November 2025.
Menurut pengendali lapangan terbang itu, percubaan terbabit bertujuan melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselamatan dan menyediakan akses lebih lancar ke terminal.
“Sistem ini memperkenalkan tempoh masuk dan keluar melalui pintu penghalang, yang direka bagi mengurangkan kesesakan yang berpunca daripada keberhentian tidak dibenarkan atau berpanjangan di kawasan tepi jalan,” katanya.
Ketika fasa percubaan, VAMS akan memberi setiap kenderaan tempoh tangguh selama 10 minit untuk menurunkan dan mengambil penumpang, dengan sistem memantau kenderaan yang kekal di situ melebihi masa berkenaan.
“Tiada yuran penalti akan dikenakan ketika tempoh percubaan. Sebaliknya, tumpuan akan diberi kepada pemerhatian corak aliran trafik, tingkah laku pemandu dan prestasi keseluruhan sistem bagi menentukan tempoh tangguh yang optimum serta struktur yuran penalti untuk pelaksanaan penuh,” katanya.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata terminal lapangan terbang itu selalunya menjadi tanggapan pertama dan terakhir bagi pengembara terhadap Malaysia.
“Kami mahu ia (tanggapan) mencerminkan layanan dan kecekapan kami, terutama ketika kami membuat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

