KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia telah melakukan lebih 900,000 transaksi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penyaluran SARA bulanan sehingga jam 9.30
malam tadi melibatkan perbelanjaan berjumlah RM60 juta di seluruh negara hari ini.
Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima sudah berbelanja dalam tempoh dua hari, dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara.
Kementerian Kewangan berkata, berikutan ledakan transaksi yang direkodkan semalam, peningkatan kapasiti sistem yang dilaksanakan oleh MyKasih telah membolehkan 20% lebih banyak transaksi diproses pada hari ini.
“Walaupun kapasiti telah dipertingkatkan, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan transaksi di beberapa lokasi. Beberapa pasar raya besar di kawasan
bandar turut mengalami kesesakan semasa waktu puncak antara jam 1 hingga 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagi menguruskan situasi ini, katanya, petugas MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar untuk membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti pagi pada hari bekerja, bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan urusan pembelian.
Menurutnya, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – MALAYSIA GAZETTE

