ALOR GAJAH – Seorang guru tahfiz muda direman tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini kerana disyaki merotan muridnya sehingga lebam di beberapa anggota badan yang disedari ibunya, semalam.
Perintah reman terhadap ustaz berusia 22 tahun itu dikeluarkan Hakim Aiza Khairuddin bermula hari ini sehingga 9 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya jika didapati bersalah melakukan penganiayaan, pengabaian, atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
Menurut sumber, kejadian terbongkar petang semalam selepas pengadu mendapat tahu anak lelakinya berusia 12 tahun kerap sakit badan akibat sering dirotan gurunya itu sejak belajar di pusat tahfiz berkenaan di Tanjung Bidara di sini, dua tahun lalu.
“Sebaik tiba di rumah bekas suaminya di Taman Bidara Setia, di sini petang semalam, anggota tentera berusia 42 tahun itu terkejut apabila melihat kesan lebam di beberapa anggota badan anaknya.
“Terdapat kesan lebam lama dan baru di bahagian belakang badan, paha dan tangan serta kaki dan mangsa mendakwa ia akibat dipukul guru tahfiz berusia 22 tahun menggunakan rotan atas pelbagai sebab dan kesalahan,” katanya.
Tambahnya, ibu mangsa kemudian menghubungi suspek untuk bertanyakan kejadian itu dan guru tahfiz terbabit mengaku telah merotan mangsa kerana muridnya itu sukar dikawal dan tidak mendengar arahan yang diberikan.
“Pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek kemudian membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah petang semalam.
“Mangsa juga telah diberikan borang Pol 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka,” katanya.
Bertindak hasil daripada laporan itu, pegawai penyiasat dan sepasukan anggota polis telah ke pusat tahfiz berkenaan di Tanjung Bidara, Masjid Tanah sebelum menahan suspek untuk direman hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan. – MalaysiaGazette

