Janda, kekasih bersekedudukan 5 tahun hingga dapat 2 anak

KLUANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan sepasang kekasih yang tinggal bersama-sama hingga melahirkan dua anak luar nikah di sebuah rumah di sini tengah malam semalam.

Serbuan tersebut dilakukan pukul 12 tengah malam hasil maklumat awam menemukan pasangan lelaki dan wanita berstatus janda dengan kedua-duanya berusia 30-an serta dua kanak-kanak dalam rumah terbabit.

JAINJ dalam kenyataan memberitahu, pasangan berkenaan bersekedudukan di rumah sewa tersebut sejak lima tahun lalu dan kehidupan mereka sudah seperti suami isteri.

“Wanita ini pernah bernikah di luar negara sebelum ini namun dia ditinggalkan suami terdahulu. Sepanjang tempoh mereka tinggal bersama-sama, penguat kuasa tidak menerima aduan mengenai kedudukan pasangan terbabit.

“Penguat kuasa JAINJ mengambil keterangan pasangan itu untuk siasatan lanjut. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Hukumannya adalah denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau sebatan atau pun ketiga-tiga hukuman terbabit, jika didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, JAINJ turut melakukan serbuan di sebuah lagi rumah di sini tengah hari semalam dan menahan seorang duda dan janda disyaki berkhalwat.

Sepasukan penguat kuasa tiba di lokasi pada pukul 12 tengah hari dan mendapati kereta lelaki terbabit diparkir tidak jauh dari rumah wanita itu.

Katanya, kira-kira 10 minit selepas pintu diketuk, wanita berusia 30-an keluar manakala lelaki berusia 50-an berada di dapur rumah wanita berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, penguat kuasa JAINJ mendapati hanya mereka berdua berada dalam rumah terbabit. Ketika tangkapan dibuat, anak wanita itu tiada di rumah.

“Ketika disoal siasat, lelaki itu mengatakan dia datang ke rumah wanita ini untuk membaiki paip mesin basuh rosak,” ujarnya.

Namun, JAINJ mendakwa, alasan itu tidak berasas kerana mesin basuh pada masa tersebut sedang digunakan untuk membasuh baju.

“Lelaki ini sempat menunjukkan beberapa spanar diambil dari laci dapur namun penguat kuasa perasan, spanar itu bukan untuk buka paip tapi untuk kegunaan lain,” katanya.

Malah lelaki itu cuba melarikan diri namun penguat kuasa bertindak pantas menghalangnya.

Menurutnya, pasangan berkenaan ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen sama dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette