Forest pecat pengurus Espirito Santo

NOTTINGHAM, England: Nottingham Forest memecat pengurus Nuno Espirito Santo, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pagi ini, selepas jurulatih dari Portugal itu mengakui bulan lalu hubungannya dengan pemilik kelab, Evangelos Marinakis sudah retak.

“Kelab Bolasepak Nottingham Forest mengesahkan, berikutan keadaan semasa, Nuno Espirito Santo hari ini dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Espirito Santo, yang dilantik pada Disember 2023, membimbing Forest mengelak penyingkiran ke liga bawahan pada musim sulungnya sebelum melepasi jangkaan ketika kempen 2024-25.

Forest berada dalam kelompok tiga teratas untuk beberapa minggu musim lalu dan menamatkan saingan di tangga ketujuh selepas mencatat kempen terbaik liga mereka dalam tempoh tiga dekad.

Mereka juga layak ke Liga Europa musim ini, penyertaan pertama mereka dalam kejohanan Eropah selepas 29 tahun.

“Sebagai individu yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kami musim lalu, beliau akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan kami,” menurut kelab itu.

Media Britain sebelum ini melaporkan mengenai pemecatan itu awal pagu tadi.

Pengurus berusia 51 tahun yang pernah mengendalikan Wolverhampton Wanderers dan Tottenham Hotspur itu menandatangani lanjutan kontrak hingga 2028 pada Jun, namun keretakan hubungannya dengan pemilik kelab mula terserlah walaupun prestasi di padang memberangsangkan.

Pada sidang akhbar bulan lalu, beliau menjawab spekulasi mengenai masa depannya di kelab dengan berkata “tiada asap tanpa api” dan mendedahkan beliau jarang bercakap dengan Marinakis.

Selepas seri 2-2 menentang Leicester City dalam saingan EPL Mei lalu, taikun perkapalan Greece, Marinakis turun ke padang dan bertekak dengan Espirito Santo.

Forest kemudiannya menolak laporan mengenai konfrontasi panas antara kedua-dua mereka sebagai “berita palsu”.

Espirito Santo juga lantang dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai rasa tidak puas hati terhadap urusan perpindahan Forest, dengan menyatakan skuadnya perlu diperkukuh kerana ia “tidak seimbang” dan memerlukan pemain di posisi utama.

Kelab itu mengikat James McAtee, Omari Hutchinson, Arnaud Kalimuendo dan Douglas Luiz dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sambil berjaya mengekalkan khidmat pemain tengah Morgan Gibbs-White meskipun terdapat minat daripada Tottenham.

Forest sebelum ini tewas 0-3 di laman sendiri kepada West Ham hujung bulan lalu dan kini berada di tangga ke-10 liga.

Mereka akan bertandang ke Stadium Emirates Sabtu ini untuk berdepan Arsenal. – REUTERS