SUNGAI BULOH: Seorang warga emas bersama anaknya ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Kampung Sri Indah, di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 12.50 tengah malam.
“Jentera tiba di lokasi jam 1 pagi dengan bantuan BBP Damansara dan BBP Rawang sebelum mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres berkeluasan 3.71 meter persegi (m²) x 5.57 m².
“Rumah berkenaan musnah kira-kira 80 peratus, dengan kebakaran turut membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Alza dan Perodua Kancil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira jam 1.55 pagi dan kedua-dua mangsa berusia 94 dan 62 tahun ditemukan dalam keadaan rentung selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 3.40 pagi.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa maut ditemui masing-masing dalam bilik dan bahagian tandas kediaman itu.
Katanya, unit anjing pengesan (K9) turut ke lokasi bagi membantu siasatan manakala kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

