BATU PAHAT: Seorang pelajar Tingkatan Lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di daerah ini, bulan lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun yang didakwa di hadapan Majistret Dhilip Nair R N Atchuthan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Namun, bagi pesalah juvana, hukumannya ialah bon berkelakuan baik atau denda atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di rumah remaja terbabit dalam daerah ini, jam 3.30 petang, 22 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Tertuduh mengaku bersalah sebelum mahkamah menetapkan 18 November ini untuk mendengar laporan akhlak tertuduh, fakta kes dan perintah serta membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,500.

