Pengawal Pantai AS rampas lebih 34 tan kokain di Lautan Pasifik

ISTANBUL: Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, berjaya merampas lebih 34 tan kokain dalam satu operasi mega di Lautan Pasifik, semalam.

Anadolu Ajansi melaporkan penghantaran kokain itu dipintas Pengawal Pantai di Lautan Pasifik melalui Operasi ‘Cartel Crackdown’ untuk membanteras penyeludupan dadah ke AS, menurut pengumuman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri melalui X.

Ia adalah sebahagian daripada Operasi ‘Pacific Viper’ yang sedang berlangsung dengan menyasarkan laluan kegiatan penyeludupan merentasi perairan antarabangsa.

“Operasi ‘Pacific Viper’ meneruskan usaha Pengawal Pantai dalam melindungi tanah air, menentang keganasan narkotik, serta menggugat organisasi pengganas asing, organisasi jenayah rentas sempadan dan kartel yang cuba menghasilkan serta menyeludup dadah haram ke AS,” menurut kenyataan dikeluarkan dalam laman sesawang Pengawal Pantai AS.

Menurut laporan media AS, kira-kira 60 individu ditahan dalam serbuan berkaitan operasi itu.

Terdahulu, pihak berkuasa AS menyiarkan rakaman dari udara yang menunjukkan serangan terhadap kapal disyaki membawa penyeludup dadah.

Rakaman itu bagaimanapun mencetuskan kritikan serta kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku ‘hukuman mati di luar bidang kehakiman.’

Isu tembakan dari udara terhadap kapal itu turut dibangkitkan pada sidang media di Rumah Putih yang menyaksikan Presiden AS, Donald Trump, ditanya oleh wartawan mengenai kesahan dan implikasi tindakan sedemikian.