KUALA LUMPUR: Kemenangan besar 8-0 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, semalam menjadi detik manis buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penyerangnya, Bergson Da Silva.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mencipta rekod baharu dalam Liga Super manakala Bergson turut meraih pencapaian sama apabila merampas takhta penjaring terbanyak sepanjang zaman daripada Indra Putra Mahayuddin.
JDT menerusi laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers memaklumkan kelab itu mencipta rekod kemenangan berterusan Liga Super dengan mencatatkan 23 kemenangan sejak 9 Ogos 2024.
“Ia mengatasi pencapaian sebelum ini iaitu 22 kemenangan berturut-turut yang dicatatkan dari 15 Oktober 2022 hingga 13 Ogos 2023,” kata kelab itu.
Pada perlawanan keenam Liga Super 2025/2026 itu, Bergson dan Joao Figueiredo meledak hatrik manakala dua lagi jaringan Harimau Selatan disumbangkan Oscar Arribas dan Raul Parra.
Tiga gol yang diledak Bergson menyaksikan penyerang kelahiran Brazil itu mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super apabila mengumpul 109 gol.
Jumlah berkenaan mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang Indra Putra selepas bekas pemain kebangsaan itu meledak 106 gol keseluruhan dalam Liga Super.
Apa yang menariknya jumlah gol yang diledak Bergson itu semuanya bersama JDT manakala Indra Putra pula mengumpul 106 gol dengan beberapa pasukan berbeza termasuk Kelantan, Pahang, Selangor, KL City dan FELDA United.
Malah, rekod 109 gol dan dengan jumlah itu juga bakal ditambah lagi oleh Bergson selepas ini, ia boleh dianggap satu angka yang sukar untuk diatasi pemain lain yang sedang beraksi dalam liga.
Bergson mengharungi tempoh empat tahun untuk berada di puncak carta penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super selepas menyertai JDT sejak 2021.

