Arsenal dapat kelebihan yang tidak adil – Silva

LONDON: Bernardo Silva menyuarakan kekecewaan terhadap jadual perlawanan yang disifatkan tidak adil selepas Manchester City hanya mempunyai 66 jam rehat antara aksi Liga Juara-Juara dan pertembungan getir menentang Arsenal.

City baru sahaja menewaskan Napoli pada Khamis lalu, namun hanya sempat berehat dua hari sebelum seri 1-1 menentang skuad Mikel Arteta yang mempunyai tempoh persiapan lebih lama.

Silva menyifatkan situasi itu tidak adil dan mendakwa pihak Liga Perdana Inggeris serta UEFA sepatutnya memainkan peranan lebih baik untuk memberi ruang tambahan pemulihan kepada pemain, apatah lagi membabitkan perlawanan berprofil tinggi.

Lebih ketara, kapten City itu turut menegaskan aksi pada Ahad lalu yang menyaksikan pasukan Pep Guardiola tampil lebih bertahan daripada kebiasaan sebagai ‘hari yang buruk’ untuk kualiti bola sepak peringkat tertinggi.

“Kami tidak boleh hadir ke salah satu perlawanan terpenting musim ini dengan kekurangan rehat sebegini. Ia tidak adil.

“Mereka ada lima hari rehat, kami hanya dua setengah hari. Dalam perlawanan besar, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Silva memahami kepentingan komitmen pelbagai pertandingan serta tuntutan penyiaran, namun menegaskan keutamaan seharusnya diberikan kepada tahap kesediaan fizikal pemain.

“Kami tidak kisah bermain setiap tiga atau empat hari. Kami biasa dengan 60 perlawanan semusim. Apa yang kami minta hanyalah sedikit kewarasan. Untuk perlawanan besar seperti Arsenal menentang City atau Liverpool, pemain mesti berada dalam keadaan fizikal sama rata untuk menjadikannya adil,” katanya lagi.

Bintang Portugal itu mengakui dirinya tidak berada pada tahap terbaik sejak permain bermula, malah menyifatkan faktor keletihan itulah yang mendorong Guardiola menukar pendekatan taktikal kepada bertahan.

Silva turut mendedahkan bahawa aduan yang dibuat oleh kapten-kapten pasukan kepada pihak berwajib sebelum ini langsung tidak mendapat perhatian.

“Kami sudah cuba bersuara, tetapi mereka tidak mendengar. Kami mahu sesuatu berubah, namun ia tidak pernah berlaku,” katanya. – AGENSI