Sekatan masuk Sabah hak mutlak negeri – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan individu mana yang dibenarkan masuk ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun berkata tindakan itu berpandukan maklumat daripada pihak keselamatan dan agensi berkaitan.

Katanya, dengan maklumat diberikan oleh pihak yang berkenaan barulah kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengikut kuasa yang ada.

“Untuk makluman, kerajaan Sabah ada kuasa yang mutlak untuk memastikan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.

“Ini juga perlu maklumat dari pihak keselamatan dan pihak yang tertentu baru kita ambil tindakan,” katanya ditemui media pada Majlis Pelancaran Program Kedai Jujur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, dekat sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ahli perniagaan, Datuk Albert Tei yang mendakwa dihalang memasuki Sabah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Albert atau nama penuhnya, Datuk Albert Tei Jiann Cheing, datang ke Sabah untuk hadir di mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah berkaitan isu permohonan lesen cari gali mineral yang dijadual di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Selain Albert, dua lagi tertuduh dalam kes itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Semalam, menerusi satu kenyataan, peguam Albert, Mahajoth Singh meminta penjelasan daripada Ketua Menteri mengenai sekatan yang dikenakan ke atas anak guamnya.

Sebelum itu, Mahajoth mendakwa Albert dihalang daripada memasuki Sabah ketika tiba di KKIA kira-kira jam 12.30 tengah hari dan dijadual menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu jam 9 pagi, hari ini.

Beliau mendakwa, sebaik tiba anak guamnya dihalang dan diberitahu oleh seorang Pegawai Jabatan Imigresen dikenali Ms Mimie bahawa Albert tidak boleh memasuki Sabah kerana ada sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Katanya, beliau kecewa apabila anak guamnya terpaksa membuktikan bahawa dia ada kes mahkamah yang sedang berjalan dengan menghubungi pegawai penyiasat dan menghantar e-mel dokumen yang berkaitan kepada Pegawai Imigresen.

Dalam hal lain, Hajiji berkata beliau sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan negeri untuk memberi pampasan insurans kemalangan kerajaan negeri kepada 13 mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Papar, Penampang dan Kota Kinabalu pada minggu lalu.

“Ya, saya sudah bincang dengan Kementerian Kewangan untuk memberi mereka bantuan daripada bantuan insurans untuk kematian. Jadi saya mahu tahu nanti sama ada mereka layak dapat atau tidak.

“Tapi, di pihak kerajaan, kita bagi bantuan juga daripada Yayasan Kebajikan Negeri Sabah, RM10,000 satu keluarga yang meninggal itu dan daripada kerajaan negeripun ada RM10,000.

“Daripada insurans ini, nanti saya akan pastikan betul-betul sama ada mereka masuk dalam kategori layak atau tidak,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan Skim Insurans Berkelompok (skim insurans kemalangan percuma) yang memberikan perlindungan sehingga RM10,000 dan faedah khairat kematian RM500 kepada semua rakyat Sabah yang berusia antara satu bulan hingga 80 tahun bermula pada 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028.

Skim itu bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat dan membantu meringankan beban kewangan, terutama golongan B40.