GURUN: Seorang pekerja swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dan seorang lelaki dengan cara menikam mangsa dalam kejadian di sini, dua minggu lalu.
Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, didakwa di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad melakukan bunuh dengan mengakibatkan kematian ke atas Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30, dan Nurul Nur Syamira Khamis, 28, di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan, antara jam 9 hingga 10 malam, 11 September lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin. Tiada pengakuan direkodkan pada prosiding hari in berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Nik Nurhazirah kemudian meminta mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula dan serahan dokumen selain memaklumkan tiada tawaran jaminan diberikan kepada tertuduh, manakala Abdul Hayyi memohon anak guamnya dipindahkan dari Penjara Alor Setar ke Penjara Marang bagi memudahkan ahli keluarga yang menetap di Terengganu melawatnya.
Anis Suraya bagaimanapun meminta pihak pembelaan mengemukakan permohonan memindahkan tertuduh ke penjara lain kepada Jabatan Penjara.
Tertuduh ditahan di Kuala Terengganu kira-kira 13 jam selepas kejadian dan polis dilaporkan turut merampas senjata berukuran 24 sentimeter di kawasan semak di Sungai Petani.
Sumber : Berita Harian

