United bakal lepaskan Casemiro, Maguire dapat kontrak baharu

LONDON: Manchester United dijangka melepaskan beberapa pemain bintang bernilai besar termasuk Casemiro bagi membiayai pembelian pemain Brighton, Carlos Baleba namun karier Harry Maguire di Old Trafford berkemungkinan dilanjutkan.

Casemiro, yang kontraknya tamat hujung musim ini dengan pilihan tambahan setahun, dikatakan akan mengetuai perpindahan besar-besaran pemain United sejak empat tahun lalu.

Pemain tengah Brazil itu kini berusia 33 tahun dan antara penerima gaji tertinggi kelab, sekitar £300,000 (RM1.7 juta) seminggu, selepas tiba dengan yuran £70 juta (RM397 juta).

Bagaimanapun, selepas musim sulung cemerlang pada 2022-23, prestasinya merosot dalam saingan domestik dan United kini mahu membawa masuk penggempur tengah baharu.

Sementara itu, Maguire yang turut memasuki tahun terakhir kontraknya mungkin diberikan lanjutan.

Pengurus Ruben Amorim sebelum ini mengaktifkan klausa setahun tambahan pada Januari lalu, selain menolak tawaran kelab lain untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan berusia 32 tahun itu.

Maguire, yang mencipta sejarah sebagai pertahanan termahal dunia ketika dibeli dari Leicester dengan harga £80 juta (RM453 juta) pada 2019, kini menerima gaji £190,000 (1.07 juta) seminggu.

United dilaporkan mahu mengekalkannya dengan tawaran gaji lebih rendah menjelang ulang tahun ketujuh perpindahannya.

United pernah melepaskan lima tonggak utama pada 2022 iaitu Paul Pogba, Juan Mata, Nemanja Matic, Edinson Cavani dan Jesse Lingard sebelum melakukan perbelanjaan besar pada musim panas pertama di bawah Erik ten Hag, termasuk membawa masuk Antony, Casemiro, Lisandro Martinez dan Jadon Sancho.

Sancho, yang kini dipinjamkan ke Aston Villa, juga dijangka akan dijual sepenuhnya.

Pemain sayap England itu menyertai United dengan harga £73 juta (RM414 juta) tetapi gagal menyerlah sejak kembali dari Borussia Dortmund pada 2021.

Dia tidak pernah beraksi dalam perlawanan liga bersama United sejak lebih dua tahun lalu.

Sancho, 25, hanya membuat dua penampilan bersama Villa musim ini, selepas turut dipinjamkan ke Dortmund dan Chelsea sebelum ini.

Walaupun kontraknya mempunyai pilihan tambahan setahun, kehadirannya dalam skuad “buangan pramusim” dan prestasi hambar menyebabkan United hampir pasti melepaskannya.

Satu lagi nama dalam skuad buangan, Tyrell Malacia masih kekal di Old Trafford selepas gagal mencari kelab baharu. – AGENSI