Kes Zara Qairina: AGC masih tunggu Shafie Apdal jawab notis tunjuk sebab

KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menunggu maklum balas Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kepada notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap beliau berhubung kenyataannya berkait inkues kes kematian arwah Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata notis itu sudah diserahkan kepada Mohd Shafie pada minggu lalu.

“Hingga hari ini, saya belum menerima sebarang maklum balas daripada beliau berhubung kenyataan yang dikeluarkan itu.

“Bagi sebarang tindakan susulan, kita tunggu dulu maklum balas atau penjelasan daripadanya kerana beliau ada memaklumkan akan menjawab notis berkenaan.

“Oleh itu, kita tunggulah kerana ruang masa masih ada. Untuk isu ini, kita tiada had masa dan bukannya jika beliau gagal jawab atau memberi penjelasan, akan terus dikenakan hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang ke-56 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, kerana didakwa menghina prosiding inkues kes kematian Zara Qairina.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan dibuat peguam, Datuk Ram Singh, ketika prosiding inkues yang memasuki hari ke-11 pada 22 September lalu.

Permohonan Ram itu turut disokong oleh semua pihak pada prosiding berkenaan.

Sebelum ini, tular rakaman video dalam media sosial yang memaparkan Mohd Shafie antara lain didakwa menyebut bahawa kematian Zara Qairina adalah kes pembunuhan.