,

GSF desak Israel bebaskan aktivis kemanusiaan, ia satu serangan haram

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) melaporkan beberapa kapalnya telah dipintas Tentera Laut Israel di perairan antarabangsa, Rabu malam.

Menurut kenyataan GSF, kapal Alma, Surius dan Adara telah diceroboh naik sekitar pukul 8.30 malam waktu Gaza.

Komunikasi dengan beberapa kapal lain juga terputus dipercayai akibat gangguan sistem yang dilakukan oleh tentera Israel.

“Ini adalah serangan haram terhadap sukarelawan tidak bersenjata di perairan antarabangsa. Kami menyeru pemimpin dunia dan institusi antarabangsa mendesak pembebasan segera semua yang terlibat,” kata kenyataan GSF.

GSF turut mendakwa Israel dengan sengaja merosakkan komunikasi bagi menyekat siaran langsung ketika operasi rampasan dilakukan.

Mereka kini sedang berusaha mendapatkan kepastian mengenai status kru dan aktivis sama ada berlaku penahanan, kecederaan atau korban jiwa.

Walaupun beberapa kapal berjaya dipintas, GSF menegaskan, misi mereka belum berakhir dan masih berada kira-kira 70 batu nautika dari Gaza akan diteruskan tanpa gentar.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel dalam kenyataannya menolak dakwaan GSF sebaliknya menegaskan misi flotilla itu hanyalah bentuk provokasi politik bukan usaha penghantaran bantuan.

Israel mendakwa pihaknya bersama Itali, Greece dan Patriarkat Latin Jerusalem telah menawarkan laluan alternatif yang selamat untuk menyampaikan sebarang bantuan ke Gaza namun ditolak oleh flotilla.

Tentera Laut Israel juga memberi amaran flotilla Hamas–Sumud sedang menghampiri zon pertempuran aktif serta melanggar sekatan laut yang dianggap sah dari sudut undang-undang antarabangsa.

“Flotilla tidak berminat dengan bantuan sebaliknya mahu mencetuskan provokasi. Israel tetap bersedia menyalurkan apa-apa bentuk bantuan melalui saluran sah dan selamat,” menurut kenyataan Kementerian Luar Israel.

GSF dianjurkan gabungan aktivis antarabangsa dengan matlamat menghantar bantuan terus ke Gaza serta mencabar sekatan laut Israel yang dikecam banyak pihak.

Seramai 24 aktivis kemanusiaan dari Malaysia turut menyertai misi tersebut dan dipercayai 7 daripadanya berada di atas kapal yang telah diceroboh naik oleh tentera Israel.

Insiden itu mengingatkan dunia kepada tragedi flotilla Mavi Marmara pada 2010 yang menyaksikan tentera Israel menceroboh konvoi misi kemanusian sehingga mencetuskan kecaman global.

Pemerhati antarabangsa menjangkakan perkembangan terbaru ini sekali lagi akan mengundang perhatian pertubuhan hak asasi manusia dan badan antarabangsa yang sebelum ini lantang mengkritik sekatan Israel terhadap Gaza. – MalaysiaGazette