Pencen pun kalau ada bukti rasuah kita akan cari – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan dalam memburu ‘jerung’ dalam kes rasuah dan penyelewengan tidak bermakna kes-kes yang disifatkan ‘ikan bilis’ diabaikan.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, tumpuan terhadap kes rasuah melibatkan ‘jerung’ itu memandangkan siasatannya lebih mencabar, selain ia melibatkan rangkaian yang besar.

Sebagai contoh, menurutnya, `jerung’ yang terlibat dalam rasuah itu mampu membayar pemimpin politik serta media termasuk media sosial disebabkan mempunyai kekuatan kerana nilai penyelewengan besar yang dilakukan.

Selain itu, tegas Anwar, tumpuan siasatan terhadap kes rasuah melibatkan ‘jerung’ itu juga bukan dilakukan kerana dendam peribadi beliau terhadap mana-mana pemimpin sebelum ini.

Tetapi, ujar beliau, tumpuan utama kerajaan adalah untuk mengembalikan semula berbilion-bilion wang negara yang didakwa diseleweng yang sepatutnya digunakan bagi manfaat rakyat.

“Tidak boleh dinafikan dalam sejarah negara kita belum pernah ada tindakan berani seperti kerajaan hari ini lakukan dalam membanteras rasuah.

“Sindiket-sindiket haram yang sudah puluhan tahun yang belum pernah diambil tindakan tetapi diambil tindakan dengan berkesan sekarang.

“Kita sekarang sedang melawan sindiket, melawan penyeludupan dan melawan kuasa-kuasa besar, jadi mesej kita sangat jelas.

“Bukankah aneh jika kita hanya mengambil tindakan terhadap kes-kes rasuah yang kecil, tetapi melepaskan kes yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan  mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri Kelapan bertemakan Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik di Institut Integriti Malaysia, di sini malam ini.

Forum itu menampilkan tiga ahli panel termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Felo Utama Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Embong.

Sementara itu, Anwar berkata, dalam memastikan kes-kes rasuah dan penyelewengan dapat dibanteras dengan lebih berkesan juga, beliau tidak mempunyai halangan sekiranya pihak berkuasa berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diperkukuhkan.

Ia selaras dengan hasratnya supaya masalah rasuah dan penyelewengan itu dapat dibersihkan sepenuhnya dalam tempoh antara dua hingga tahun akan datang, kata beliau.

“Saya tidak kira kalau anda menteri; ketua setiausaha atau pengarah sekali pun, jika ada rekod salah laku, kita akan cari.

“Kalau bukan hari ini, esok atau tahun-tahun akan datang, yang sudah pencen sekalipun kalau dapat bukti mencuri (rasuah) ketika berkuasa, kita akan cari,” katanya.

Sementara itu, Anwar terus menempelak pihak pembangkang khususnya yang dilihat mempertahankan tindakan tegas beliau dalam mengarahkan siasatan terhadap pemimpin tertentu bersabit kes rasuah dengan mendakwa ia tindakan peribadi, selain tidak wajar atas faktor usia.

Sedangkan, tegas Anwar, tindakan yang diambil oleh SPRM itu adalah hasil siasatan berdasarkan bukti, dengan keputusan akhir dibuat oleh mahkamah tanpa campur tangan beliau.

“Ia bukan keputusan saya…keputusan saya hanyalah wang yang dipunggah berbilion-bilion ringgit itu mesti dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette