,

Peserta GSF dibawa ke pelabuhan Israel, rakyat Malaysia gegarkan dunia dengan solidariti – Nadir

KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengesahkan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel telah mula dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu berkata, barisan peguam GSF sudah mula berhubung dengan para sukarelawan yang ditahan bagi memberikan bantuan guaman.

“Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman.

“Paling awal, esok pagi kami akan kongsikan perkembangan mereka. Sementara itu, teruskan aksi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Nadir yang kini masih berada di Laut Mediterranean bersama tiga sukarelawan Malaysia lain di atas Jong Melayu selaku kapal pemerhati turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut pembebasan peserta GSF.

“Meremang bulu roma, menitik air mata melihat kalian berdemo di KL dan seluruh negara. Dengan iklan seketika, di tengah waktu bekerja, kalian buktikan yang kita punya suara dan mampu menggegar dunia. Allahuakbar.

“Terima kasih dan tahniah, ini hari yang bahagia untuk saya setelah lebih sedekad berjuang untuk Palestin,” ujarnya.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga termasuk selebriti tanah air seperti Heliza Helmi, Zizi Kirana, Ardell Aryana dan PU Rahmat.

Dalam pada itu, lima peguam Malaysia yang juga aktivis hak asasi kini ditempatkan di Amman, Jordan untuk memastikan layanan telus terhadap sukarelawan negara.

Mereka ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, membawa mesej kemanusiaan dengan menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan.

Penyertaan tokoh dunia seperti Greta Thunberg, pelakon Susan Sarandon, Liam Cunningham dan cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela turut menarik perhatian antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL