Belalang seperti sebahagian besar masyarakat global yakin misi Global Sumud Flotilla (GSF) kali ini sebenarnya mencapai kemenangan moral paling besar, meskipun kapal ditahan dan sukarelawan diculik tentera Israel sebelum sempat menjejakkan kaki ke pantai Gaza. Ya, mereka tidak sempat menurunkan bantuan makanan dan ubat-ubatan, tetapi berjaya membangkitkan kesedaran dunia.
Namun dalam kita bersyukur dengan kejayaan sebenar GSF, Belalang terkejut apabila baca komen di media sosial tanah air. Ada segelintir rakyat kita yang bukan sahaja memperlekehkan, malah mentertawakan perjuangan sukarelawan yang terpaksa menyatu makanan serta meletakkan nyawa mereka di muncung senjata tentera rejim. Mereka ini buta mata dan hati sedangkan masyarakat dunia bangkit menyokong Palestin.
Lebih teruk ada juga secara terang-terangan menyebelahi Israel sedangkan rejim itu sedang melakukan serangan genosid dan jenayah perang terhadap warga Gaza. Orang seperti ini ibarat ‘ular berlingkar di gulungan tikar’ yang bisa dan racunnya lambat-laun boleh menghancurkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat kita sendiri. Jenis ‘lidah biawak’ sanggup berpihak kepada penindas, elok sahaja dicabut kewarganegaraan.
Ada sedikit kelegaan apabila Belalang baca berita terkini Hamas bersetuju menerima pelan gencatan senjata dicadangkan Donald Trump, termasuk pembebasan tebusan, sekali gus mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS) terbabit menggesa Israel agar menghentikan serta-merta pengeboman ke atas wilayah Palestin itu. AS seperti kita maklum adalah pembekal senjata bernilai puluhan bilion dolar kepada rejim Zionis itu, malah turut menghantar kapal induk dan mengirimkan teknologi pertahanan paling canggih.
Cuma dengan Israel, kita kena hati-hati kerana mereka terkenal dengan sikap gemar mencabuli perjanjian. Tengok sahaja pada Mac 2025, serangan udara Israel di Gaza mengorbankan lebih 400 nyawa, hanya beberapa bulan selepas gencatan senjata diumum. Malah pada 9 September, mereka melancarkan serangan di Qatar dengan menyasarkan pemimpin kanan Hamas yang sedang mengadakan pertemuan merundingkan pelan gencatan senjata.
Trump mungkin hebat bercakap, tetapi tidak cukup sebagai jaminan keamanan. Belalang setuju dengan cadangan Presiden Colombia pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) supaya pasukan pengaman antarabangsa dihantar memantau pelaksanaan gencatan senjata. Mungkin Malaysia dan ASEAN boleh suarakan hal ini ketika Trump datang pada Sidang Kemuncak ASEAN nanti.

