Cubaan seludup bunga ganja RM98 juta guna kotak tuala premium gagal

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat kejayaan besar apabila menumpaskan empat cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat lebih 1,000 kilogram bernilai kira-kira RM98 juta dalam siri operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Pengarah Kastam (Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kuala Lumpur, Zulkifli Muhammad, berkata kejayaan itu hasil tindakan pantas dan kerjasama erat antara Bahagian Penguatkuasaan JKDM dengan beberapa agensi keselamatan lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Katanya, lima lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Empat kes ini membabitkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja ke luar negara, terutama ke pasaran Eropah, menggunakan taktik termasuk penyamaran sebagai barangan dagangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, dalam kes pertama pada 1 Oktober lalu, seorang lelaki warga tempatan berusia 60-an ditahan di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai.

Pemeriksaan bagasinya menemukan 21.04 kilogram bunga ganja bernilai kira-kira RM2.06 juta.

“Suspek ini sudah dituduh di mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Bagi kes kedua, rampasan dilakukan pada 27 September lalu di pintu masuk eksport apabila pasukan penguat kuasa mengesan 21 bungkusan dadah seberat 220.32 kilogram bernilai RM21.59 juta dalam lori kurier yang hendak memasuki Zon Bebas KLIA untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.

Sementara itu, dalam kes ketiga yang dilaksanakan pada 29 dan 30 September lalu, serbuan di dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya menemui 52 kotak bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza, dengan berat keseluruhan 464.58 kilogram dan nilai dianggarkan RM45.53 juta.

Kes keempat pula menyaksikan rampasan 294.35 kilogram bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA pada 3 Oktober lalu, turut menggunakan lori kurier untuk membawa keluar 28 bungkusan dagangan ke luar negara.

Zulkifli berkata, bagi kes kedua hingga keempat, modus operandi sindiket ialah dengan menyembunyikan dadah di dalam kotak berlabel jenama tuala premium dan membungkusnya dengan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, seramai empat lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun membabitkan pemandu lori kurier dan pemilik gudang logistik ditahan bagi membantu siasatan dalam kes kedua, ketiga dan keempat.

“Kesemua rampasan ini menunjukkan masih ada pihak yang cuba mempergunakan kemudahan logistik dan kurier antarabangsa untuk tujuan penyeludupan.

“JKDM tidak akan berkompromi dan akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk utama negara,” tegasnya.