GEORGETOWN: Semalam, Ang Kim Choo menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-103.
Jika tidak ditanya sesiapa, tiada apa ada yang luar biasa mengenai wanita ini, namun apabila sejarah hidupnya diungkap, nostalgia nenek 12 cucu pantas kembali ke zaman mudanya hampir lapan dekad lalu.
Kim Choo adalah bekas anggota polis berkhidmat era darurat, direkrut sebagai konstabel khas (SC) pada 1 April 1954 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1 Jun 1960.
“Saya kerja polis tak lama, tapi itu masa paling bermakna dalam hidup,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan hari lahirnya anjuran Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee, di sini malam tadi.
Kim Choo menyifatkan tiada nikmat lebih berharga selain dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Ditanya apa tugasannya sebagai SC, ibu tunggal lima anak ini memberitahu, satu daripada tanggungjawabnya ialah memantau pelajar yang terjebak anasir gengsterisme atau sering terbabit dalam pergaduhan.
“Pernah mereka lari bersembunyi dalam hutan, tapi kami dapat tangkap dan bawa mereka balik ke sekolah,” kata anak jati Kulim, Kedah ini yang berhijrah ke Pulau Pinang semasa muda dan kehilangan ibu serta bapanya pada usia remaja.
Tambahnya, selain tugasan rutin meronda kawasan kejiranan dan penempatan setempat, ada masanya dia dan rakan sepasukan ditugaskan memeriksa kawasan hutan berbukit yang dikhuatiri terdedah kepada ancaman komunis.

Dalam meniti usia emas, Kim Choo mengakui sudah tidak dapat mendengar dengan baik, namun tetap bersyukur kerana masih mampu melihat dengan agak jelas tanpa perlu memakai cermin mata.
“Saya cuma ada penyakit darah tinggi. Semua masakan Melayu, Cina, India saya suka makan, paling suka kuih, pencuci mulut manis, itu susah nak tolak. Kita untung tinggal di Malaysia, macam-macam boleh makan, boleh buat kerja sebab negara aman,” katanya yang masih mampu berjalan menggunakan tongkat.
Anak sulungnya, Yeoh Saw Gaik, 83, berkongsi kisah ibunya seorang yang ceria dan bersemangat, meskipun ingatan terhadap kenangan silam semakin merosot.
“Dia tegas dalam mendidik anak-anak. Dulu, dia pencari nafkah tunggal dalam keluarga, kadang-kadang garang juga, kalau kerja memang disiplin. Masa mak kerja, saya memasak, jaga adik-adik. Selepas habis belajar, saya dapat kerja kerajaan di Jabatan Audit, dua adik jadi jururawat, seorang kerja sektor swasta dan seorang lagi peguam,” katanya.
Sementara itu, Johnny yang juga Pegawai Penyelaras Pasukan Simpanan Sukarelawan Polis Diraja malaysia (SSPDRM), berharap kegigihan dan sikap tidak mudah mengalah warga emas itu wajar dicontohi generasi muda terutama untuk menyumbang kepada negara.
“Keberanian beliau wajar dijadikan teladan, khususnya masyarakat Cina untuk menyertai pasukan keselamatan dan berkhidmat untuk negara. Ia bukan tugas mudah, apatah lagi bagi seorang wanita pada waktu itu. Oleh kerana itu, penting mempunyai jiwa patriotik dan rela berjuang demi tanah air tercinta,” katanya.

