SEMENANJUNG GAZA: Gencatan senjata di Gaza yang kini memasuki hari keempat membuka laluan ke arah perdamaian selepas dua tahun peperangan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang berlepas dalam lawatan singkat ke Israel dan Mesir malam semalam, menjadi antara pemimpin dunia yang dijangka hadir di Sharm El-Sheikh, pusat peranginan Laut Merah di Mesir, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Gaza yang diketuai bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Perjanjian Damai Gaza bergantung kepada komitmen kedua-dua pihak untuk melaksanakan pertukaran tebusan — mereka yang diculik dari Israel pada 7 Oktober 2023, dengan tahanan Palestin di penjara Israel.
Peringkat awal gencatan senjata itu membabitkan pembebasan 47 tebusan Israel – sama ada hidup atau mati – sebagai pertukaran bagi 250 tahanan Palestin serta 1,700 penduduk Gaza yang ditahan Israel sejak perang tercetus.
Hamas juga dijangka menyerahkan mayat seorang askar Israel yang terbunuh dalam peperangan Gaza pada 2014.
Jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Israel menjangkakan semua 20 tebusan yang masih hidup akan diserahkan kepada Palang Merah awal pagi ini, sebelum tarikh akhir tengah hari (waktu tempatan) di bawah syarat perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Trump.
Beliau berkata, tahanan Palestin hanya akan dibebaskan selepas Israel mengesahkan semua tebusan selamat melintasi sempadan ke Israel.
Israel bagaimanapun tidak menjangkakan semua mayat tebusan akan dipulangkan pada hari ini.
Trump dan Sisi akan mempengerusikan sidang kemuncak keamanan Gaza membabitkan lebih 20 pemimpin dunia di Sharm El-Sheikh pada hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir, perhimpunan itu bertujuan untuk ‘menamatkan perang di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha keamanan dan kestabilan di Asia Barat serta membuka era baharu keselamatan serantau’.
Kementerian Luar Mesir semalam berkata, satu ‘dokumen bagi menamatkan perang di Gaza’ dijangka akan ditandatangani dalam perhimpunan bersejarah itu.
Sumber diplomatik memaklumkan, AS, Mesir, Qatar dan Turkiye dijangka menandatangani dokumen jaminan semasa sidang berkenaan.
Bagaimanapun, tiada wakil Israel atau Hamas akan hadir malah Pejabat Netanyahu sendiri mengesahkan, Israel tidak akan mengambil bahagian, manakala Hamas lebih awal lalu menyatakan mereka tidak akan menghantar wakil.
Antara pemimpin yang dijangka hadir termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Raja Jordan Abdullah II, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, turut dijangka hadir.
Mesir berkata, 21 negara akan mengambil bahagian, termasuk wakil dari Kesatuan Eropah, Liga Arab, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Pakistan, Indonesia, India dan Jerman.
Iran pula mengesahkan, Presiden Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar Abbas Araghchi tidak akan hadir walaupun menerima jemputan.
Sumber Hamas yang rapat dengan jawatankuasa perunding kumpulan itu memberitahu AFP, semalam Hamas tidak akan terbabit dalam pentadbiran Gaza selepas perang.
Sumber berkenaan yang enggan dikenali berkata, kumpulan itu sudah ‘menyerahkan kawalan’ ke atas Gaza, namun menegaskan, Hamas ‘tetap menjadi sebahagian penting daripada masyarakat Palestin’.
“Hamas bersetuju dengan gencatan senjata jangka panjang dan senjatanya tidak akan digunakan sepanjang tempoh ini, kecuali jika Israel menyerang Gaza,” katanya.
Seorang lagi pegawai Hamas turut menegaskan, pelucutan senjata kumpulan itu ‘tidak sama sekali menjadi pilihan’.
Sementara itu, lebih 200 trak membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk enam trak bahan api diesel dan lima trak gas memasak, berlepas di lintasan Kerem Shalom, semalam.
Pemerhati AFP yang turut melihat kenderaan kosong turut kembali ke sempadan Mesir.
Ratusan ribu penduduk Palestin dilaporkan kembali ke Bandar Gaza yang musnah pada Sabtu, sehari selepas senjata berhenti berbunyi.
Agensi Pertahanan Awam Gaza, di bawah pentadbiran Hamas, berkata lebih 500,000 orang sudah kembali ke bandar berkenaan menjelang petang, kelmarin.

