KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan empat pelajar yang berdepan pertuduhan rogol tetap tertakluk kepada siasatan dan tindakan undang-undang.
Menurut Azalina, beliau tidak akan mengulas keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) yang membenarkan pelajar terbabit menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini kerana perkara itu di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, namun daripada sudut undang-undang, jenayah tetap jenayah.
“Saya tidak boleh beri penjelasan sebab itu mungkin dasar atau keputusan KPM. Itu saya tidak boleh komen. Tapi dari segi undang-undang jenayah, ia tetap satu kesalahan. Hukuman dan siasatan tetap dijalankan oleh pihak polis,” katanya selepas sesi ‘townhall’ Antibuli #GenarasiTanpaBuli di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan KPM untuk membenarkan empat pelajar yang berdepan kes rogol menduduki peperiksaan SPM bulan depan.
Kelmarin, empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
Azalina berkata, siasatan kes tersebut kini berada di bawah tanggungjawab polis sebelum diserahkan kepada Pendakwa Raya untuk pertimbangan selanjutnya.
“Bagi saya, polis kena siasat dan tindakan sewajarnya mesti diambil. Jika Pendakwa Raya berpuas hati dengan hasil siasatan dan terdapat bukti kukuh, pendakwaan akan diteruskan,” ujarnya.
Menurut Azalina, usia bawah 18 tahun tidak memberi imuniti daripada tindakan undang-undang sekiranya kesalahan jenayah dilakukan.
“Kalau bawah 18 tahun, mahkamahnya mungkin berbeza, tetapi jangan salah faham. Bila berlaku jenayah, dia tetap boleh didakwa. Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Hukuman tetap dikenakan,” ujarnya.
Tambah beliau, sistem keadilan negara sentiasa menyeimbangkan antara prinsip perlindungan terhadap remaja dengan keperluan menegakkan keadilan kepada mangsa.
“Kita perlu berhati-hati, bukan untuk menghukum semata-mata, tapi untuk memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa, tertuduh dan masyarakat,” ujarnya. –MalaysiaGazette

