JASIN – Kecurangan isteri warga Indonesia dengan teman serumah Bangladesh dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam seorang lelaki sebelum suspek turut mencabut nyawanya sendiri di rumah sewa mereka di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan mendapati kejadian 7 malam itu terbongkar selepas kedua-dua warga Bangladesh itu ditemukan mati di dalam rumah mereka oleh seorang lagi teman serumah mereka.
Menurutnya, mangsa berusia 42 tahun ditemukan terbaring berlumuran darah di dapur manakala suspek berusia 31 tahun dipercayai menggantung diri pada kipas bilik yang dalam keadaan berkunci.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian bunuh dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek selepas mendapat tahu isterinya yang juga warga Indonesia dan pernah tinggal bersama di situ menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa.
“Pemeriksaan di tempat kejadian menemui 21 kesan tikaman dan tetakan pada kepala serta badan mangsa.
“Polis turut merampas sebilah parang dan dua bilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan pecah masuk atau pergelutan dengan pihak luar, sekali gus menolak kemungkinan kejadian melibatkan unsur jenayah pihak ketiga.
Dzulkhairi berkata, difahamkan isteri kepada suspek telah melarikan diri bersama anak mereka sejak dua minggu lalu namun berjaya dikesan polis manakala mangsa pula mempunyai isteri di Bangladesh.
“Ketika kejadian, hanya mereka berdua berada di rumah malah hasil keterangan awal jiran juga memberitahu ada terdengar pergaduhan petang semalam sebelum senyap sehinggalah rakan serumah balik.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tambahnya. – MalaysiaGazette

