SEOUL: Sekolah di Incheon, Korea Selatan, yang ditutup sementara selepas menerima ancaman bom dalam talian selama tiga hari berturut-turut, kembali beroperasi semalam.
Pihak polis bagaimanapun meneruskan siasatan terhadap gelombang ancaman sama yang dilaporkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Rabu lalu, polis memaklumkan mengenai satu hantaran mendakwa bahan letupan dipasang di sebuah sekolah menengah di daerah Seo-gu, Incheon, melalui pusat laporan kecemasan 119 pada kira-kira jam 7.43 pagi waktu tempatan.
Susulan itu, pihak sekolah mengambil keputusan menghantar pulang kira-kira 930 pelajar sebagai langkah keselamatan.
Hasil pemeriksaan pihak polis bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan letupan di kawasan sekolah.
Siasatan awal mendapati ancaman itu dihantar melalui pelayan luar negara, dan siasatan masih dijalankan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa ancaman sama turut dimuat naik pada 13 dan 14 Oktober lalu.
Dalam salah satu hantaran, penulis ancaman itu mendakwa akan kembali ke sekolah pada jam 11 pagi untuk mengacukan pisau dan meletupkan bom.
Manakala satu lagi hantaran menyebut bahawa cubaan terdahulu digagalkan polis, namun akan diulang.
Kes di Incheon itu berlaku selepas beberapa ancaman terhadap sekolah lain turut dilaporkan baru-baru ini.
Pada hari yang sama, satu e-mel berunsur ugutan yang mendakwa bom dipasang di empat sekolah menengah di Gwangju dihantar kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, satu hantaran dalam talian serupa muncul di Asan, wilayah Chungcheong Selatan.
Polis mengesahkan bahawa tiada bahan letupan ditemui dalam semua kes berkenaan. – AGENSI

