KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan setiap jemaah haji mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik bermula dari tanah air hingga ke Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ibadah haji bukan sekadar Rukun Islam kelima tetapi ia juga ujian kemampuan (istito’ah), termasuk kemampuan dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Katanya, tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai.
“Kerajaan Arab Saudi menetapkan panduan kesihatan untuk semua negara dan Malaysia komited untuk mematuhinya.
“Tujuannya jelas bagi menjaga keselamatan, kelancaran dan kesempurnaan ibadah untuk dhuyufurrahman.
“Jadi saya menyambut baik pengumuman Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai syarat kesihatan baharu bagi ibadah haji musim 1447H/2026M,” katanya dalam kenyataan di Facebook, sebentar tadi.
Ahad lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dilaporkan berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadah haji dengan sendiri.
Katanya, jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mengalami kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.
Susulan itu Mohd Na’im berkata, TH dan KKM kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib supaya hanya jemaah haji yang benar-benar layak daripada segi kesihatan dibenarkan menjalani ibadah itu.
Namun katanya, bagi mereka yang belum melepasi tahap kesihatan minimum, TH menyarankan penangguhan giliran haji dan ia bukan sebagai sekatan, tetapi sebagai peluang untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.
“TH juga akan memastikan setiap penginapan jemaah di Makkah dan Madinah dilengkapi klinik kesihatan, farmasi dan pegawai perubatan bertauliah, manakala mereka yang serius akan dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan pemantauan rapi oleh pakar KKM,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi terutamanya KKM juga mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan hospital sektor awam dan swasta yang moden dengan teknologi terkini dan menambah anggota kesihatan bagi operasi haji serta perkhidmatan kesihatan di kawasan utama ibadah haji.
“Dengan seramai 225 petugas perubatan KKM di Tanah Suci, kami yakin mutu perkhidmatan kesihatan jemaah Malaysia akan terus berada pada tahap terbaik.
“Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama TH dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan terus berganding bahu demi menjamin kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia.
“Saya yakin ibadah haji yang sempurna bermula dengan tubuh yang sihat dan hati bersedia,” katanya.

