KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan membangkitkan mengenai tempat duduk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan masih yang masih kekal di tempat asal walaupun beliau sudah dipecat oleh parti itu.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengajukan perkara itu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng ketika mencelah sebaik Wan Saiful selesai membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Pertanyaan itu menyebabkan Dewan Rakyat kecoh seketika dengan suara penyokong kerajaan dan pembangkang.
Poay Tiong berkata; “Seperti kita maklum, Tasik Gelugor sudah dipecat daripada partinya jadi kenapa dia masih duduk di tempat sama, dia sekarang (Ahli Parlimen) Bebas ke masih dalam pembangkang atau bagaimana?”
Dewan Rakyat bertambah gamat apabila Poay Tiong secara sinis bertanya kepada Wan Saiful; “Dekat luar tentang Pagoh, sekarang dekat dalam masih lagi nak bersama (BERSATU)?”
Wan Saiful kemudian menjelaskan, beliau masih duduk di blok pembangkang kerana menunggu keputusan rayuan yang sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi BERSATU.
“Yang Dipertua, dalam parti kita ada peraturan membolehkan rayuan dijalankan. Sehingga tamat tempoh rayuan itu, keputusan belum muktamad.
“Kalau (Poay Tiong) nak kursus mengenai perlembagaan BERSATU, saya boleh bagi, saya pun tahu juga,” katanya.
Pada 14 Oktober lalu, BERSATU memecat Wan Saiful dan empat Ketua Bahagian BERSATU, selain menggantung keahlian Ahli Majlis Tertingginya yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.
Tindakan itu dikaitkan dengan dakwaan pembabitan mereka dalam gerakan akuan berkanun (SD) bagi menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain insiden kekecohan susulan laungan ‘Turun Tan Sri’ ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025, pada September lalu.

