SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memulakan pengambilan 220 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat mulai Januari tahun depan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 itu akan dilaksanakan melalui kaedah lantikan secara kontrak selepas peruntukan diterima.
“Kami mengadakan pertemuan dengan veteran ATM semalam.
“Kita akan menggunakan model yang diguna pakai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sejak hampir empat tahun lalu.
“Secara asasnya, ia membabitkan tugasan sokongan manakala kuasa pelaksanaan akan dikongsi bersama pegawai AKPS.
“Selepas mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, AKPS diarah melaksanakan inisiatif itu dengan segera.
“Pelaksanaannya dijangka bermula Januari 2026 selepas peruntukan disalurkan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, hari ini.
Mengenai pelaksanaan Sistem Saringan Penumpang Awal (APSS) yang bermula 31 Oktober lalu, Mohd Shuhaily berkata, sistem itu berada pada fasa awal, bermatlamat mengintegrasikan data Jabatan Imigresen dengan kemudahan di bawah APSS.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai sekatan perjalanan supaya menyelesaikan isu berkenaan sebelum berlepas ke luar negara.
“Sistem berkenaan akan memberi makluman awal kepada AKPS bagi membolehkan kami menghalang individu yang mempunyai sekatan daripada meninggalkan negara,” katanya.
APSS dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan imigresen dengan meneliti maklumat penumpang sebelum ketibaan, sekali gus membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu berisiko tinggi lebih awal dan mengambil langkah proaktif meningkatkan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata, bagi fasa awal pelaksanaan APSS, 10 syarikat penerbangan terbabit bagi menguji keberkesanan sistem itu sebelum ketibaan penumpang di pintu masuk antarabangsa.

