Dakwaan soalan ujian bertutur SPM bocor tidak benar – KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa dakwaan kebocoran soalan ujian bertutur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 adalah tidak benar.

Sebaliknya kementerian itu menjelaskan, maklumat yang ditularkan adalah senarai tema umum dan merupakan kandungan yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Menurutnya, senarai tema yang ditularkan merupakan ramalan guru dan calon peperiksaan.

“Ia tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas
peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di media sosial dakwaan kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris SPM Tahun 2025.

KPM berkata, kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, diklasifikasikan sebagai sulit seperti peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menasihatkan calon peperiksaan SPRM tahun ini supaya kekal tenang dan terus fokus kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.

“KPM berusaha memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 adalah terjamin,” tambahnya. – MalaysiaGazette