Jambatan di China runtuh beberapa bulan selepas dibuka

BEIJING: Sebahagian daripada jambatan yang baru dibuka di wilayah Sichuan, barat daya China, runtuh pada Selasa di sepanjang lebuh raya nasional.

Pihak berkuasa tempatan berkata tiada laporan mengenai kemalangan jiwa diterima susulan tragedi di laluan menghubungkan kawasan tengah negara dengan Tibet itu.

Polis di bandar Maerkang telah menutup Jambatan Hongqi sepanjang 758 meter kepada semua kenderaan pada petang Isnin selepas retakan muncul di cerun dan jalan berhampiran, serta berlaku pergerakan tanah di sebuah gunung, menurut kerajaan tempatan.

Gambar menunjukkan sebahagian jambatan di wilayah Sichuan, China runtuh ke dalam Sungai Hongqi. – Foto REUTERS

Pada petang Selasa, keadaan di lereng gunung semakin meruncing, mencetuskan tanah runtuh yang menyebabkan sebahagian jambatan pendekatan dan jalan raya runtuh, tambah kenyataan itu.

Pembinaan jambatan berkenaan disiapkan awal tahun ini, menurut video yang dimuat naik oleh kontraktor, Sichuan Road & Bridge Group, di media sosial. – REUTERS