China gantung tayangan filem Jepun ketika krisis diplomatik semakin meruncing

BEIJING: Pengedar filem di China menggantung tayangan sekurang-kurangnya dua filem Jepun susulan pertikaian yang semakin tegang antara Tokyo dan Beijing, yang menurut penyiar rasmi CCTV sebagai keputusan ‘berhati-hati’ selepas mengambil kira sentimen penonton tempatan yang semakin merosot.

Penangguhan itu dibuat kurang dua minggu selepas kenyataan berkaitan Taiwan oleh Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mencetuskan reaksi keras daripada China dan membawa kepada ketegangan diplomatik paling serius antara kedua kuasa Asia Timur itu dalam beberapa tahun.

Beberapa filem Jepun, termasuk animasi ‘Crayon Shin-chan the Movie: Super Hot! Scorching Kasukabe Dancers’dan filem adaptasi manga ‘Cells at Work!’ yang dijadual ditayangkan dalam minggu akan datang, tidak akan memulakan tayangan di tanah besar China seperti dirancang, lapor CCTV berdasarkan semakan bersama pengimport dan pengedar filem.

Filem animasi Demon Slayer: Infinity Castle yang pada awalnya mendapat sambutan baik, turut mencatat penurunan prestasi box office selepas kenyataan Takaichi berikutan ‘ketidakpuasan dalam kalangan penonton China, menurut laporan CCTV semalam.

Pengimport dan pengedar filem memilih untuk akur kepada reaksi pasaran, menghormati sentimen penonton dan menangguhkan tayangan filem akan datang, kata CCTV.

Jepun pula berusaha meredakan ketegangan dengan China selepas Takaichi memberitahu ahli Parlimen Jepun mengenai serangan China ke atas Taiwan yang mengancam keselamatan Jepun boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan.

Beijing sejak itu menggesa rakyatnya menghentikan perjalanan ke Jepun, dan Perdana Menteri China, Li Qiang, dilaporkan tidak merancang untuk bertemu Takaichi di luar sidang kemuncak G20 minggu ini di Afrika Selatan.

Ketua tiga persekutuan perniagaan utama Jepun bertemu Takaichi semalam dan menggesa supaya dialog diadakan bagi menyelesaikan ketegangan diplomatik.

“Kestabilan politik menjadi prasyarat kepada hubungan ekonomi,” kata pengerusi Keidanren, Yoshinobu Tsutsui, kepada media selepas pertemuan itu.