KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski meluahkan rasa bangga terhadap komitmen serta karakter dipamerkan anak buahnya ketika menewaskan Nepal 1-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Menurut Cklamovski, fokus utama pasukan adalah memastikan tiga mata penuh sekali gus menutup tirai tahun 2025 dengan rekod tanpa kalah.
“Saya berbangga dapat mengendalikan pasukan ini. Setiap hari mereka memberikan saya inspirasi… sebagai pemain dan sebagai sebuah pasukan.
“Kami beraksi dengan penuh tumpuan malam ini dan itu membantu kami meraih tiga mata untuk negara. Sudah tentu kami mahukan lebih jaringan… kami mencipta beberapa peluang baik dan saya percaya kami layak untuk kemenangan ini.
“Kami menamatkan 2025 tanpa kalah dan saya dimaklumkan ia sesuatu yang sudah lama tidak berlaku… mungkin 30 atau 40 tahun. Ini menunjukkan pasukan ini istimewa dan saya amat berbangga dengan mereka,” kata Cklamovski pada sidang media selepas perlawanan.
Aksi di Bukit Jalil bagaimanapun bermula dengan ujian apabila Malaysia kehilangan tonggak utama, Arif Aiman Hanapi yang terpaksa dikeluarkan seawal minit kesembilan akibat kecederaan sebelum digantikan dengan Faisal Halim.
Mengulas situasi itu, Cklamovski mengakui keputusan berkenaan sukar.
“Sangat mengecewakan, tetapi saya harap dia okey. Saya belum mendapat perkembangan perubatan terkini. Apa pun, ini mengajar kami bahawa pasukan tidak boleh bergantung kepada seorang pemain.
“Mickey (Faisal) atau sesiapa saja yang dimasukkan, mereka tahu peranan serta tanggungjawab yang harus dipikul. Walaupun situasi itu menyedihkan, pemain menunjukkan karakter yang amat baik,” katanya.
Skuad negara kini mengalihkan fokus kepada pertembungan penentu menentang Vietnam pada aksi terakhir kumpulan, 31 Mac tahun depan, perlawanan yang bakal menentukan kedudukan Harimau Malaya dalam perebutan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

