KUALA LUMPUR: MIC tidak mempunyai pilihan lain selain keluar Barisan Nasional (BN) bagi menghormati kehendak akar umbi.
Pandangan itu disuarakan bekas Naib Presiden MIC, Datuk Kohilan Pillay, yang menyifatkan parti itu harus jelas dengan hala tuju masa depan, tanpa bermain tarik tali.
Mengulas lanjut katanya, beliau melihat MIC perlu segera merealisasikan permintaan akar umbi dengan keluar daripada BN sebelum membuat langkah seterusnya iaitu bergabung dengan gagasan lain.
“Hala tuju MIC kena jelas dan pucuk pimpinan perlu akur dengan kehendak akar umbi yang majoriti sokong parti keluar daripada BN.
“Jika MIC berasakan tidak dijaga di bawah BN maka tindakan jelas perlu dilakukan demi masa depan parti yang lebih baik,” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, timbul desas-desas bahawa MIC yang kini dipimpin Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran mahu keluar dari BN.
Desas-desus itu semakin kuat apabila mesyuarat perwakilan di di Kedah, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang bergema suara mahukan MIC keluar BN.
Malah, melalui Perhimpunan Agung MIC ke-79, kelmarin sebanyak tiga usul dikemukakan perwakilan parti itu yang bersedia untuk menamatkan penyertaan dalam BN.
Pilihan terbaik sertai PN
Pada masa sama, Kohilan yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, melihat, selepas keluar dari BN, pilihan terbaik bagi MIC adalah menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana peluang MIC untuk memperoleh lebih banyak kerusi bagi ditandingi pada pilihan raya kelak adalah lebih cerah.
“Namun apabila menyertai pakatan baharu contohnya PN, MIC tidak boleh menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebaliknya perlu mengikut ideologi gagasan terbabit,” katanya.
Bukan main tarik tali, tapi ikut proses
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk SK Devamany pula berkata, pihaknya tidak melihat MIC seolah-olah bermain tarik tali untuk keluar daripada BN, sebaliknya parti itu perlu melalui proses yang sepatutnya sebelum menyatakan keputusan terbabit.
Beliau berkata, perwakilan memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti untuk membuat keputusan, dan ia adalah proses sebelum parti menunaikan kehendak akar umbi.
“MIC dihadiri 1,700 perwakilan ketika perhimpunan agung dan mereka membuat usul untuk keluar dari BN serta memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk membuat keputusan.
“Itulah proses demokrasi yang kita ada. Jawatankuasa ini hanyalah proses dan bukannya disebabkan parti mahu main tarik tali,” katanya.
Devamany berkata, adalah penting untuk MIC kekal relevan dan mengubah strategi sedia ada bagi memastikan parti itu diterima rakyat.

