GEORGE TOWN – Banjir di tiga negeri utara Semenanjung terus menunjukkan peningkatan apabila Perlis, Kedah dan Pulau Pinang merekodkan keseluruhan 1,893 mangsa kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini
Trend peningkatan itu susulan hujan sejak semalam yang menjejaskan kawasan rendah dan kediaman berhampiran sungai.
Di Perlis, seramai 850 orang daripada 254 keluarga sudah dipindahkan ke enam PPS di Arau, Kangar dan Padang Besar.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, empat PPS di Padang Besar menempatkan SK Lubok Sireh (123 mangsa), SK Felda Mata Ayer (304), Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer (105) dan SK Batu Bertangkup, Chuping (77).
“SK Titi Tinggi yang dibuka semalam terpaksa ditutup selepas dinaiki air, menyebabkan semua mangsa dipindahkan ke SK Felda Mata Ayer.
“Dua lagi PPS dibuka ialah Dewan Warisan, Kangar dan SK Guar Nangka, Arau,” katanya.
Sementara itu di Pulau Pinang, data Info Bencana JKM yang dikemas kini jam 3 petang merekodkan 414 mangsa daripada 106 keluarga berada di empat PPS.
Daripada jumlah itu, 364 mangsa berada di Seberang Perai Utara, manakala 50 mangsaditempatkan di satu PPS di Seberang Perai Tengah.
Pecahan mangsa pula, melibatkan 127 lelaki dewasa, 122 wanita dewasa, 99 kanak-kanak lelaki, 60 kanak-kanak perempuan, selain enam bayi. – MalaysiaGazette

