Tiada bukti kawasan pendaratan Rohingya secara haram

KUALA LUMPUR: Polis Kontinjen Kedah sentiasa memantau rapat dalam mengawasi apa sahaja aktiviti harian, khususnya di Bukit Malut, Langkawi yang dilaporkan kebal dan dianggap sebagai sarang aktiviti jenayah.

Malah, polis juga tidak menemui sebarang elemen tepat kononnya kawasan berkenaan turut berfungsi sebagai lokasi pendaratan etnik Rohingya yang memasuki negara ini secara haram.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata stigma mengenai kawasan berkenaan adalah lokasi persembunyian warga Rohingya dan sarang aktiviti jenayah tidak dapat dibuktikan sehingga kini.

“Kalau kita teliti corak atau modus operandi (MO) kedatangan pendatang asing tanpa izin, terutama etnik Rohingya, yang datang belayar dari Bangladesh atau Myanmar, mereka akan transit di Satun, Thailand.

“Dari Satun, mereka (PATI) menaiki bot masuk perairan negara menuju ke utara Langkawi iaitu rumah apungan yang disediakan sindiket di Teluk Ewa atau Teluk Datai, yang menghadap Pulau Tatutao, Thailand.

“Berdasarkan rekod tangkapan yang kita laksanakan sebelum ini, MO mereka bukannya menuju ke Bukit Malut, meskipun kawasan ini adalah di tepi laut dan kita (polis) tidak pernah mengesan lagi kes kemasukan melalui Bukit Malut,” katanya kepada BH, semalam.

Adzli berkata, dari rumah apungan, sindiket akan membawa antara empat hingga lima orang PATI masuk ke Langkawi menaiki bot ke jeti di pekan Kuah.

“Dari pekan Kuah, mereka menaiki feri dan seterusnya menuju ke tanah besar menuju ke Jeti Kuala Perlis atau Kuala Kedah.

“Ini berasaskan statistik tangkapan yang kami lakukan di jeti pekan Kuah dan bukannya di Bukit Malut.

“Jadi dakwaan menyatakan Bukit Malut sebagai lokasi transit PATI atau warga Rohingya adalah tidak tepat meskipun ada sebahagian daripada pendatang ini berkemungkinan mempunyai saudara-mara yang sudah lama menetap di penempatan yang mempunyai komuniti Melayu Islam Kedah (MIK) ini,” katanya.

Mengulas dakwaan Bukit Malut sebagai sarang jenayah, Adzli berkata, beliau mengakui bahawa penempatan yang dianggarkan didiami hampir 5,000 penduduk itu pernah digelar sebagai kawasan ‘Pablo Escobar’ yang dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan dadah suatu ketika dulu.

“Sejujurnya saya tidak bersetuju sekiranya pada masa ini, Bukit Malut masih dianggap kawasan sarang jenayah kerana ia tidak wujud lagi selepas pandemik COVID-19.

“Ini susulan pelbagai operasi, pemeriksaan dan pemantauan yang kita laksanakan di kawasan penempatan itu, selain mendapat kerjasama yang baik daripada empat pemimpin utama Jawatankuasa Komuniti Penduduk Kampung (JKKK) di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, isu utama di Bukit Malut adalah rasa kurang senang dan kurang selesa dalam kalangan penduduk tempatan Langkawi yang kembali ke pulau berkenaan selepas lama berhijrah ke bandar.

Katanya, kebanyakan mereka adalah dalam kalangan generasi muda yang kembali ke Langkawi dan melihat budaya komuniti MIK secara negatif, sedangkan generasi lama lebih mengenali penduduk penempatan ini.