KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing tampil garang apabila menundukkan rakan senegara di ranking ke-45 dunia, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao untuk menjuarai Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India hari ini.
Beregu di ranking ke-57 dunia itu hanya memerlukan 32 minit untuk melakar kemenangan meyakinkan 21-9, 21-19 di Lucknow sekali gus menghadiahkan gelaran sulung mereka dalam kejohanan bertaraf Super 300.
Pada set pertama, Aaron-Khai Xing langsung tidak memberi ruang apabila mempamerkan corak permainan pantas untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-9 dalam tempoh 11 minit.
Set kedua turut menyaksikan pasangan pilihan keenam kejohanan itu terus mendominasi permainan namun kali ini Wei Jie-Sheng Hao bangkit memberi tentangan lebih sengit.
Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila Aaron-Khai Xing kembali memperkemas rentak sebelum menoktah kemenangan 21-19.
Kejayaan itu juga kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Khai Xing ke atas pasangan sama selepas menumpaskan mereka pada final Super 100 Malaysia bulan lalu.
Dengan kemenangan itu, Aaron-Khai Xing membawa pulang hadiah wang tunai AS$18,960 (RM78,352) manakala Wei Jie-Sheng Hao berpuas hati sebagai naib juara dengan AS$9,120 (RM37,688).
Kejayaan mereka juga mengikut jejak langkah Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang menang acara itu pada 2023 manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul juara pada 2022.

